Para
Ulama selalu menekankan perihal adab dalam menuntut ilmu. Kerana yang
menjadikan ilmu itu bermanfaat dan berkat adalah apabila disertai dengan
adab daripada para penuntut ilmu.
Saya
suka mengungkapkan perkataan Al-Imam Al-Muhaddis Abdullah bin
Al-Mubarak rahimahullah, seorang tokoh ulama salaf, seorang tabi’
tabi’in yang hidup sebelum zaman Imam Al-Syafi’i rahimahullah. Beliau
mengatakan bahawa adab menuntut ilmu ada enam;
Pertama: Ikhlas.
Kedua: Mendengar dengan baik.
Ketiga: Faham.
Keempat: Menulis.
Kelima: Beramal dengan ilmu tersebut.
Keenam: Mengajarkan ilmu tersebut kepada orang lain.
SUKARNYA MENJAGA KEIKHLASAN
Berapa
ramai manusia pada hari ini menghadiri majlis-majlis ilmu, mempelajari
ilmu agama dalam keadaan tidak ikhlas. Sama ada sekadar ingin mengisi
masa lapang, atau ingin mencari kesilapan dan kesalahan orang, atau
bertujuan mendapat ganjaran-ganjaran tertentu, anugerah tertentu, ingin
dilihat dan disanjung oleh sebahagian manusia, dan sebagainya.
Allah
SWT dan Rasulullah SAW memurkai ibadah tanpa disertai dengan ikhlas.
Ikhlas adalah perintah Allah SWT. Menuntut ilmu agama merupakan fardu
ain yakni wajib ke atas setiap individu Muslim. Nabi SAW bersabda,
“Menuntut ilmu (agama) itu wajib atas setiap Muslim.” (Sahih. Riwayat
Ibnu Majah)
Apabila
arahan ini datang daripada Nabi SAW, maka melakukannya merupakan
ibadat, dan setiap ibadat mestilah terbina di atas keikhlasan. Sekiranya
kita sekadar menuntut ilmu untuk mengisi masa lapang, kita tidak
mendapat sebarang ganjaran. Menuntut ilmu adalah ibadah, dan setiap
ibadah terbina dengan keikhlasan dan mengikuti Nabi SAW.
Firman ALLAH SWT, “Tidaklah kalian diperintah untuk beribadat kepada Allah melainkan dengan ikhlas.” (Surah Al-Bayyinah: 5)
Nabi
SAW menceritakan tentang ikhlas dalam hadis yang masyhur, “Sesungguhnya
setiap amalan itu bergantung pada niat, dan setiap manusia itu
bergantung pada apa yang dia niatkan. Barang siapa yang hijrah kerana
Allah dan Rasul maka hijrahnya kerana Allah dan Rasul, barangsiapa yang
hijrahnya kerana dunianya atau wanita yang ingin dinikahi, maka
hijrahnya adalah apa yang dia niatkan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Imam Al-Syafi’i apabila melihat hadis ini beliau berkata, “Hadis ini termasuk dalam 70 cabang daripada cabang-cabang ilmu.”
Hadis
ini cukup besar pengertiannya bagi orang-orang yang memahami tentang
keikhlasan. Imam Al-Bukhari meletakkan hadis ini sebagai hadis yang
pertama. Imam Al-Nawawi dalam kitab Riyadhus Solihin meletakkan hadis
ini sebagai hadis yang pertama. Dalam kitab Al-Azkaar beliau meletakkan
hadis ini sebagai hadis yang pertama. Dalam kitab Hadis 40, beliau
meletakkan hadis ini sebagai hadis yang pertama. Ini menunjukkan betapa
ulama-ulama dulu apabila hendak menulis, mereka mengingatkan diri mereka
tentang keikhlasan, tentang niat.
Ini
juga menunjukkan betapa niat yang ikhlas itu mesti wujud di dalam
setiap amal ibadah yang hendak dikerjakan. Oleh itu kita perlu pandang
serius perihal niat. Kerana niat manusia mendapat ganjaran pahala,
kerana niat manusia mendapat dosa.
Imam Muslim meriwayatkan hadis menceritakan tentang tiga golongan manusia yang mana di dunia mereka dimuliakan oleh masyarakat.
Golongan
yang pertama adalah seorang yang telah gugur di medan perang. Dia
dipanggil dan ditunjukkan kepadanya nikmat yang telah diberikan
kepadanya, dan ditanya kepadanya apakah yang telah dia lakukan dengan
nikmat itu. Maka dia mengatakan bahawa, ‘Ya Allah, sungguh aku telah
berjuang di jalanMu sehingga aku gugur di medan perang’. Lalu Allah
mengatakan, ‘Engkau telah berdusta. Sebaliknya engkau berjuang supaya
dikatakan sebagai seorang yang berani, dan engkau telah diperkatakan
sedemikian’. Maka dia diseret dengan mukanya, lalu dihumban dalam api
Neraka.
Golongan
kedua pula adalah orang yang telah menuntut ilmu, mengajarnya dan
membaca Al-Quran. Dia dipanggil, lalu diperlihatkan kepadanya nikmat
yang telah diberi kepadanya, lalu dia ditanya tentangnya. Dia
mengatakan, ‘Sungguh aku telah menuntut ilmu dan mengajarnya untukMu
Wahai Allah, dan aku telah membaca Al-Quran untukMu wahai Allah.’ Lalu
dikatakan kepadanya, ‘Engkau berdusta. Engkau menuntut ilmu supaya
engkau dikatakan sebagai alim, dan engkau membaca Al-Quran supaya engkau
dikatakan sebagai qari’, dan engkau telah pun dikatakan begitu oleh
manusia.’ Maka dia pun diseret dengan wajahnya di tanah dan dihumban
dalam api Neraka.
Golongan
ketiga adalah orang yang telah diperluaskan kepadanya oleh Allah dengan
diberikan segala bentuk harta kepadanya. Mereka diseru dan
diperlihatkan nikmat yang telah diberikan, dan ditanya apa yang telah
dilakukan dengan nikmat itu. Mereka menjawab, ‘Sungguh tidaklah jalan
untuk aku berinfaq keranaMu wahai Allah, melainkan aku telah infaq pada
jalan itu.’ Allah mengatakan, ‘Engkau berdusta. Engkau telah infaq hanya
untuk dikatakan oleh manusia sebagai orang yang pemurah, dan engkau
telah pun dikatakan begitu oleh manusia.’ Lalu dia diheret dengan
wajahnya dan dihumban ke dalam api Neraka. (Riwayat Muslim)
Subhanallah.
Di dunia jutaan manusia mengangkatnya. Di dunia, jutaan manusia memuji
dan memujanya, tetapi di Akhirat dia tergolong di kalangan ahli neraka.
Semuanya kerana niat. Kerana itu setiap ibadah yang kita lakukan perlu
bermula dengan niat yang benar.
Seorang
salaf, Yahya bin Kathir rahimahullah berkata, “Hendaklah kalian semua
belajar tentang niat, kerana mempelajari tentang niat ini lebih berkesan
daripada terus menerus mempelajari tentang amalan.”
Kerana
itu para ulama seringkali mengingatkan kita tentang kepentingan niat.
Cukup cantik kiasan yang dibuat oleh Al-Imam Ibnu Al-Qayyim rahimahullah
di mana beliau berkata, “Sesungguhnya suatu amalan tanpa keikhlasan dan
tanpa mencontohi Nabi SAW adalah seperti seorang musafir yang memenuhi
begnya dengan pasir. Memberatkannya tetapi tidak bermanfaat baginya.”
Ini
gambaran bagi manusia yang tidak ada keikhlasan dalam melakukan amal,
dan juga manusia yang beramal tetapi tidak mencontohi Nabi SAW. Setiap
amalannya di atas muka bumi sia-sia belaka. Dengan itu saya tekankan
sekali lagi bahawa niat merupakan perkara serius yang wajib kita ingat
mengingatkan sesama Muslim, khususnya dalam perlaksanaan apa jua ibadat.
Menuntut
ilmu adalah ibadat, maka berkewajipan bagi kita memulakan semangat
menuntut ilmu dengan niat yang ikhlas hanya semata-mata inginkan
keredaan Allah SWT.
PETANDA IKHLAS DALAM MENUNTUT ILMU
Keikhlasan
dalam menuntut ilmu akan memberi kesan kepada seseorang. Salah satu
tanda ikhlas dalam menuntut ilmu adalah ilmu tersebut akan bermanfaat
bagi diri dan bermanfaat pula bagi orang di sekitarnya. Sabda Nabi dalam
sebuah hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim,
“Perumpamaan
hidayah yang aku diutus oleh Allah dengannya dan ilmu adalah bagaikan
air hujan yang turun membasahi bumi; ada bahagian tanah yang subur yang
menyerap air maka ia menumbuhkan rumput dan tumbuhan yang banyak.
Ada
tanah gersang yang menampung air kemudian Allah menjadikannya manfaat
bagi manusia. Maka mereka minum darinya, memberi minum haiwan ternak dan
menanam. Dan ada pula tanah lain yang tandus gersang, ia tidak
menyimpan air dan tidak pula bisa menumbuhkan tumbuhan.
Itulah
perumpamaan orang yang memahami agama Allah lalu dia mengambil manfaat
dari apa yang aku diutus Allah dengannya, maka dia belajar dan
mengajarkannya. Dan perumpamaan orang yang tidak menghiraukannya, dan
tidak mahu menerima hidayah Allah yang aku diutus dengannya.”
(Muttafaqun ‘alaih)
Orang
yang ikhlas sedar bahawa ilmu yang dicari adalah untuk diamalkan. Ilmu
dicari sebagai bekal untuk memperbaiki ibadatnya kepada Allah, tidak
terhenti setakat menambahkan ilmu semata-mata. Manakala orang yang
niatnya rosak, dia tidak menjadikan beramal dengan ilmu sebagai matlamat
dia mencari ilmu tersebut.
Seorang
yang ikhlas dalam menuntut ilmu juga akan menjadi bertambah takut
kepada Allah, mempunyai takwa dalam dirinya sehingga melaksanakan segala
tuntutan agama dalam kehidupan seharian serta menjauhi perkara-perkara
yang dilarang. Ini sebagaimana firman Allah, “Sesungguhnya yang yang
takut kepada Allah di antara hambaNya hanyalah orang yang berilmu”
(Surah Fathir: 28)